khabarkanlah ke pendengarannya
semulus aliran kasih
mengelus perlahan
ke wadi kerinduan
di gurun keterasingan
sampaikanlah ke penglihatannya
amanah bicaraku
sifar dari kemelut kekesalan
pada pertemuan
yang telah ditakdirkan
peringatkanlah ke sentuhannya
usah dipaksakan
mengukir kalam pendustaan
pada sebuah pengucapan
nan beralas kejujuran
persematkan ke seluruh pancainderanya
yang terjadi ini
refleksi ketentuan
biarpun di alam larangan
namun
jangan sewenangnya
dipusarakan
riwayat cinta di persimpangan
huda saari
22 safar 1429
Saturday, February 23, 2008
kiriman untuk dia
Thursday, February 21, 2008
penjuru (dedikasi: amirul mukminin)
penjuru
bukan penjara
tapi ruang
melontar tenaga
penjuru
bukan sempit
tapi pengait
mengusul fatwa
penjuru
bukan luas
tapi bebas
mengekang munkar
berada di penjuru
jauh lebih mulia
dari berada di gelanggang
menentang pengkudusan
salam perjuangan akhir zaman
huda saari
14 Safar 1429
Monday, February 18, 2008
anak (syed hubaish al aqra & syarifah fathnun an najwa)
duhai anak
ingatlah apa yang kuberitakan pada kalian
tentang utuhnya
perjuangan Rasulullah
hikmah sepanjang zaman
duhai anak
sematkan apa yang kuceritakan pada kalian
tentang kukuhnya
perjalanan Imam Ghazali
mencari ilmu
duhai anak
peganglah apa yang kau bacakan dalam surah Luqman
tentang panduan
agar keberkatan
menyuluh di hadapan
duhai anak
usah jemu
menggali iman
usah gentar menghadang cubaan
Al Quran itu panduanmu
Sunnah itu ikutanmu
Islam itu hala hidupmu
Akhirat itu matlamatmu
dirimu adalah infak kami
ke jalan yang Allah redhoi
ummi dan walid
Jan 2008
ikatan misteri (untuk "dia" yang telah berlalu pergi)
seketika tanpa bicara itu
sunyi senandung sehimpun rindu
longlai lesu mendatangimu
menghadirkan keluh kesahku
pada pintu hatimu
akukah sang pencinta
terus meratap gerbang lara
pada kasih terpedaya
menghambat nestapa
entah kali ke berapa
siapakah nan setelusnya
mengerti dan menangisi
bersandar rintihan kalbu
lalu
menyambut kiriman senduku
menyahut alunan syairku
terimalah pesanku
duhai sang rerama utusan cinta
duhai sang semilir bisikkan rahsia
terpisah fana dunia nyata
bersatu setia dalam rahsia
kerana
kasih itu tetap azimat
doa itu ikatan penambat
huda saari
Nov 2007
Tuesday, February 12, 2008
bunga bangsa (dedikasi: untuk semua anak muridku)
perjalanan ini
adalah tali
tidak bisa dibiarkan putus
dalam merempuh arus
perjuangan ini
adalah hamparan
tidak betah dibiar berselirat
dalam mengenal sifat
perjuangan ini
bukan terlalu jauh
untukmu melepaskan keluh
untukmu mengaduh lusuh
sesungguhnya
ia sesingkat masa berlari laju
tanpa tahu erti menunggu
dari itu
hiduplah tanpa bersendikan hiburan
bernafaslah tanpa bertunjangkan khayalan
dari itu
bernadilah dengan kalimah kesyukuran
bertekadlah dengan hakikat kesabaran
dek kerana
denyut perjuangan
sentiasa dahagakan
kecekalanmu
senantiasa rindukan
ketabahanmu
lunaskan seluruh harapan itu
demi agama nan berada pada iktikadmu!
demi bangsa nan melekat pada dirimu!
demi negara tercurahnya tumpah darahmu!
doaku mengiringi jejak bertapakmu..
huda saari
Jan 2008
Thursday, February 7, 2008
Wahai Tuhan..pada lewat kartu ini
wahai Tuhanku Yang Maha Mengasihani
ke mana perlu kurebahkan gundah tidak terperi
melainkan sujud di bening dinihari
menerusi jalinan kasih sayangMu
nan bersemadi di dalam hati
kusimpulkan apa yang ingin dititipi
pada kartu lewat ini
untuk dia
bahawa aku kini tersepit antara jiwa dan rasa
antara amanah dan sumpah
bahawa aku kini menyendiri
demi perintahMu wahai Tuhan
demi rasulMu wahai Tuhan
wahai Tuhanku Yang Maha Mengetahui
ke mana perlu kusimpan
apa yang pernah Kau suratkan
melainkan tafakur di pelukan malam
menerusi sulaman rinduMu
nan bernafas di dalam sanubariku
kuhimpun apa yang ingin kuratapi
pada kartu lewat ini
untuk dia
bahawa aku tetap menyisip doa
antara perjanjian dan ikrar
antara takdir dan 'ikatan'
bahawa aku kini redha menerima
demi perjalanan hidup
wahai Tuhan
demi hala cita-cita wahai Tuhan
tunduk di ruang tafakur padaMu jua
kususuri waktu tanpa dia
pun demikian adanya
salam ingatanku menyapanya
saban tika
pengganti diri luka
pengubat jiwa lara
dengan air mataku yang Kausaksikan ini
aku percaya bahawa
Kau berhak menentukan segalanya
salam keberkatan kumohon
untuk dia yang
Kau ciptakan
begitu istimewa
huda saari
5 Febuari 2007
Wednesday, February 6, 2008
jeritan pada jemari (dedikasi komuniti pekak)
andai kau hayati
erti ketabahan
maka tiada lagi keluhan
pada hari kesiangan
andai kau fahami
erti kesabaran
maka tiada lagi rungutan
pada malam kesuraman
tunjukkan pada dunia
batas langkahmu
kian tegar dan segar
biar gemersik suaramu
tidak bisa didengar
kuhayati erti perjuanganmu
kuhulur tulus keringatku
seikhlas hatiku
mendengar jeritan jemarimu
huda saari
Seminar MySL, Hotel Selesa Johor Bahru
2007







