siapa
antara kita
menjarakkan
hingga
terluka dan melukakan
sketsa pertemuan
siapa
antara kita
membicarakan
hingga
berdusta dan mendustakan
wadah perjanjian
siapa
antara kita
mencemarkan
hingga
tercalar dan mencalarkan
rona percintaan
siapakah antara kita
kian melara
paling derita
pastinya
sanggup ku beralah
memikul duka
penuh pasrah
terimakasih buatmu
kasih sayangku itu
dibalas bicara penuh darah
Monday, April 14, 2008
antara kita
Thursday, March 20, 2008
nurul aini
marhaban ya nurul aini
marhaban jandal husaini
muhammad ya rasulullah
ikutan sepanjang zaman
kecintaan padamu
terlebur kepayahan
muhammad ya rasulullah
sambutlah tali penghubung
pada titipan selawat dan salam
zuriatmu penyambung warisan
muhammad ya rasulullah
kekhilafan jiwa perempuanku
mohon restu kasih ihsanmu
memayungiku dengan syaafaat itu
muhammad ya rasulullah
tiada yang dapat kuserahkan
melainkan keikhlasan
kecintaan pada titisan kemuliaan
nasabmu yang terlalu mulia
pemberi cahaya
perjalananku nan penuh luka
sembah salam
selawat kesejahteraan
buat kekasih seluruh alam
huda saari
20 mac 2008
Sunday, March 16, 2008
syair untuk kekasih
kekasih
berikanlah aku jawapan
kedamaian itu apa tafsiran
kiranya
terbuai di ayunan kasih
namun tali cintanya ampuh
tersimpul lalu terlontar jauh
oleh taqdir ketentuan
kekasih
hulurkan aku keyakinan
kebahagiaan itu apa huraian
kiranya
terlena di pusaran belaian
namun helusan nafas kenangan
terukir kukuh dan tulus
pada ikrar perjanjian
kekasih
kalam syahduku nan kesekian
dipatri dengan tinta kehijauan
harumnya seiring waktu beriringan
kekasih
biar jasadmu tidak terdaya kutawan
namun kesetiaan tidak dapat dicairkan
biar sendu dan kesayuan
menggamit persada ingatan
huda saari
Mac 2008
Thursday, March 13, 2008
di batas masa
sekiranya aku diberitahu
tentang bila detik masaku
untuk pergi
mengadap rabbul izzati
izinkan aku sekali ini
menukar warna jejak semalam
membasuh benang masa nan kelam
andai kutahu
saatnya aku perlu berlalu
ingin aku
terus mencariMu
sejuta tahun tidak jemu
berikan aku kesempatan ini
meluntur dosa silam
membuka jendela keinsafan
pada detik akhir perjalanan
huda saari
pusat kesihatan UiTM
Mac 2008
Monday, March 10, 2008
siapakah dia
diakah
yang menawan citra dan cintamu
hingga menolakku
ke tepi muara
merintih bersama kelopak kiambang
termanggu keseorangan
diakah
yang arif menghulur perutusan
mengelus lembut jiwamu
sepadan mengharung bersama
gelombang percintaan
diakah
yang kau dambakan
untuk bersama
menyusuri detik masa
siapakah dia
antara illusi dan impian
siapakah aku
antara janji dan kepalsuan
siapakah kita
antara pengabadian dan persinggahan
huda saari
7 Mac 2008
Thursday, March 6, 2008
salam hadir untuk kenangan (7 Mac 2006 termetrinya memori)
mampirlah
telah kusediakan ruang untukmu
agar abadi bertakhta
dalam pelukan masa
biar duka itu
melumuti dan merencam jiwa
akan terkambus jua
oleh kemurniaan budi dan bicara
hadirlah
telah kuberikan keluhuran buatmu
agar berteduh redup
dalam jantung berdegup
biar pilu itu
mengekori dan membunuh rasa
akan terlitup jua
oleh kesaktiaan rindu dan cinta
salam hadir aduhai kenangan
tak bisa kusisirkan harumanmu
tak bisa kulontarkan kemanisan itu
kerana dendam bukan igauan
kerana benci bukan ikutan
huda saari
6 Mac 2008
Saturday, February 23, 2008
kiriman untuk dia
khabarkanlah ke pendengarannya
semulus aliran kasih
mengelus perlahan
ke wadi kerinduan
di gurun keterasingan
sampaikanlah ke penglihatannya
amanah bicaraku
sifar dari kemelut kekesalan
pada pertemuan
yang telah ditakdirkan
peringatkanlah ke sentuhannya
usah dipaksakan
mengukir kalam pendustaan
pada sebuah pengucapan
nan beralas kejujuran
persematkan ke seluruh pancainderanya
yang terjadi ini
refleksi ketentuan
biarpun di alam larangan
namun
jangan sewenangnya
dipusarakan
riwayat cinta di persimpangan
huda saari
22 safar 1429
Thursday, February 21, 2008
penjuru (dedikasi: amirul mukminin)
penjuru
bukan penjara
tapi ruang
melontar tenaga
penjuru
bukan sempit
tapi pengait
mengusul fatwa
penjuru
bukan luas
tapi bebas
mengekang munkar
berada di penjuru
jauh lebih mulia
dari berada di gelanggang
menentang pengkudusan
salam perjuangan akhir zaman
huda saari
14 Safar 1429
Monday, February 18, 2008
anak (syed hubaish al aqra & syarifah fathnun an najwa)
duhai anak
ingatlah apa yang kuberitakan pada kalian
tentang utuhnya
perjuangan Rasulullah
hikmah sepanjang zaman
duhai anak
sematkan apa yang kuceritakan pada kalian
tentang kukuhnya
perjalanan Imam Ghazali
mencari ilmu
duhai anak
peganglah apa yang kau bacakan dalam surah Luqman
tentang panduan
agar keberkatan
menyuluh di hadapan
duhai anak
usah jemu
menggali iman
usah gentar menghadang cubaan
Al Quran itu panduanmu
Sunnah itu ikutanmu
Islam itu hala hidupmu
Akhirat itu matlamatmu
dirimu adalah infak kami
ke jalan yang Allah redhoi
ummi dan walid
Jan 2008
ikatan misteri (untuk "dia" yang telah berlalu pergi)
seketika tanpa bicara itu
sunyi senandung sehimpun rindu
longlai lesu mendatangimu
menghadirkan keluh kesahku
pada pintu hatimu
akukah sang pencinta
terus meratap gerbang lara
pada kasih terpedaya
menghambat nestapa
entah kali ke berapa
siapakah nan setelusnya
mengerti dan menangisi
bersandar rintihan kalbu
lalu
menyambut kiriman senduku
menyahut alunan syairku
terimalah pesanku
duhai sang rerama utusan cinta
duhai sang semilir bisikkan rahsia
terpisah fana dunia nyata
bersatu setia dalam rahsia
kerana
kasih itu tetap azimat
doa itu ikatan penambat
huda saari
Nov 2007
Tuesday, February 12, 2008
bunga bangsa (dedikasi: untuk semua anak muridku)
perjalanan ini
adalah tali
tidak bisa dibiarkan putus
dalam merempuh arus
perjuangan ini
adalah hamparan
tidak betah dibiar berselirat
dalam mengenal sifat
perjuangan ini
bukan terlalu jauh
untukmu melepaskan keluh
untukmu mengaduh lusuh
sesungguhnya
ia sesingkat masa berlari laju
tanpa tahu erti menunggu
dari itu
hiduplah tanpa bersendikan hiburan
bernafaslah tanpa bertunjangkan khayalan
dari itu
bernadilah dengan kalimah kesyukuran
bertekadlah dengan hakikat kesabaran
dek kerana
denyut perjuangan
sentiasa dahagakan
kecekalanmu
senantiasa rindukan
ketabahanmu
lunaskan seluruh harapan itu
demi agama nan berada pada iktikadmu!
demi bangsa nan melekat pada dirimu!
demi negara tercurahnya tumpah darahmu!
doaku mengiringi jejak bertapakmu..
huda saari
Jan 2008
Thursday, February 7, 2008
Wahai Tuhan..pada lewat kartu ini
wahai Tuhanku Yang Maha Mengasihani
ke mana perlu kurebahkan gundah tidak terperi
melainkan sujud di bening dinihari
menerusi jalinan kasih sayangMu
nan bersemadi di dalam hati
kusimpulkan apa yang ingin dititipi
pada kartu lewat ini
untuk dia
bahawa aku kini tersepit antara jiwa dan rasa
antara amanah dan sumpah
bahawa aku kini menyendiri
demi perintahMu wahai Tuhan
demi rasulMu wahai Tuhan
wahai Tuhanku Yang Maha Mengetahui
ke mana perlu kusimpan
apa yang pernah Kau suratkan
melainkan tafakur di pelukan malam
menerusi sulaman rinduMu
nan bernafas di dalam sanubariku
kuhimpun apa yang ingin kuratapi
pada kartu lewat ini
untuk dia
bahawa aku tetap menyisip doa
antara perjanjian dan ikrar
antara takdir dan 'ikatan'
bahawa aku kini redha menerima
demi perjalanan hidup
wahai Tuhan
demi hala cita-cita wahai Tuhan
tunduk di ruang tafakur padaMu jua
kususuri waktu tanpa dia
pun demikian adanya
salam ingatanku menyapanya
saban tika
pengganti diri luka
pengubat jiwa lara
dengan air mataku yang Kausaksikan ini
aku percaya bahawa
Kau berhak menentukan segalanya
salam keberkatan kumohon
untuk dia yang
Kau ciptakan
begitu istimewa
huda saari
5 Febuari 2007
Wednesday, February 6, 2008
jeritan pada jemari (dedikasi komuniti pekak)
andai kau hayati
erti ketabahan
maka tiada lagi keluhan
pada hari kesiangan
andai kau fahami
erti kesabaran
maka tiada lagi rungutan
pada malam kesuraman
tunjukkan pada dunia
batas langkahmu
kian tegar dan segar
biar gemersik suaramu
tidak bisa didengar
kuhayati erti perjuanganmu
kuhulur tulus keringatku
seikhlas hatiku
mendengar jeritan jemarimu
huda saari
Seminar MySL, Hotel Selesa Johor Bahru
2007
Monday, February 4, 2008
satu perkara dalam banyak perkara
ada satu perkara yang perlu kunyatakan
hari-hariku yang berlalu terlalu suram
kerana
aku masih meletakkan harapan
yang telah menjadi penghayatan
ada satu perkara yang perlu kunyatakan
wajah cerita kita punya satu kekuatan
kerana
aku percaya pada sebuah pertemuan
yang telah menzahirkan ketentuan
ada satu perkara yang perlu kunyatakan
dirimu mengiringi di dunia sementaraku
kerana
aku belum tewas pada sebuah perjanjian
yang pernah aku sengajakan
ada satu perkara lagi yang perlu aku nyatakan
bahawa aku buntu mencari jawapan
kerana
aku tidak tahu di mana noktah ingatan
padamu
selagi hakikat kebenaran kasih belum terhenti
selagi makna pengunduran belum bersemi
walau sesungguhnya aku amat mengerti
bahawa dirimu tiada lagi di sisi
setidak-tidaknya
biar aku bersama duka
sementara waktuku belum tiba
huda saari
8 June 2006
sebuah ingatan
(i)
itulah sesekalung bunga yang ada
menjerut jua pada perasaan
walau kelopaknya masih ada gegaris cinta
penyusuran ini tak pernah bermakna
kerana hadir cinta
sekadar menghantar duka
menghumban di nestapa
(ii)
biar antara kelopaknya
kuhanyutkan dalam sebuah alpa
untuk mengubat sepotong kecewa
secangkir coretan itu
bermastautin di sini
dengan ingatan
kali ini ada perbezaan
atas nama sebuah penerimaan
(iii)
kucantumkan kelopak terlerai itu
walau susunannya tidak seindah dulu
kucuba menambahkan warna nan syahdu
agar keikhlasannya memanjang
tidak berlalu
sekadar sayang dariku yang benar
huda saari
April 26, 2006
suara anak alam (dedikasi: seisi dunia keilmuan)
di hujung benua
pada tinta pada suara
berhubung roh dengan jasad
pada suatu hasrat
di hujung benua
pada rasa pada jiwa
berhubung nadi dan nyawa
pada suatu cinta
pada permulaan benua
kembalikan kesaktiaan semangat
pada penghujung benua
serahkan keabadiaan keringat
demi anak-anak alam
biarpun bersuram kelam
namun perjalanan bukan ketandusan
kerana
tunggak kehidupan
kekal pada jihad keilmuan
salam pengabadian untuk seluruh anak alam
huda saari
7 Julai 2007